Nurul Huda Abhar
HANTARAN di laman Facebook Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam nahas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi menjadi perbualan kerana sering mengingatkan kepada kematian.
Semakan di akaun Facebook Affendi Bustamy, beberapa hantaran yang dimuat naik Allahyarham menulis bahawa kematian tidak mengira usia muda atau keadaan kesihatan seseorang.
“Jangan tertipu dengan usia muda kerana syarat untuk mati tidaklah harus tua,” tulis arwah pada 13 Ogos tahun lalu.
Dalam hantaran berbeza, Mohamad Affendi berkata “Jangan terpedaya dengan badan yang sihat kerana syarat untuk mati tidaklah harus sakit”.

Mohamad Affendi juga menulis agar tidak mensia-siakan usia yang ada kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku esok.
“Umur yang tersisa disaat ini sungguh tak ternilai harganya. Sebab hari esok belum tentu jadi bahagian kita,” katanya.
Coretan Allahyarham itu meruntun hati pengguna media sosial yang rata-rata bersedih dengan kehilangan perajurit negara itu.
Jenazah Mohamad Affendi dikebumikan di kampung halaman di Muadzam Shah, Pahang.
Dalam kejadian jam 10.07 malam tadi pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama dua juruterbang dilaporkan terhempas dan meletup di Pangkalan Udara Butterworth.
TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian itu.
Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil. – Malaysiapost

