PERIKATAN Nasional (PN) berikrar membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri Melaka kelak sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata manifesto PN yang bertemakan Melaka Bangkit Gemilang mempunyai enam tunjang ikrar untuk rakyat Melaka.
Menurutnya, ia adalah satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh dirangka berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan.
“Ia akan berpaksikan kepada keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur, keteguhan dan kejujuran pentadbiran.
“Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak juga akan berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh pentadbiran berintegriti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, satu Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan turut akan ditubuhkan bagi memantau iltizam PN dan akan dianggotai anak jati Melaka sendiri.
“Segala kata mestilah dikotakan, segala janji pasti ditepati,” katanya. – Malaysiapost

