Operasi tren antara Stesen JB Sentral dan Kempas Baru dihenti sementara

0
1
Seorang polis KTM Berhad memantau dan mengawal orang ramai supaya tidak melebihi garisan kuning sebelum ketibaan ETS KTM Berhad di KL Sentral hari ini.

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghentikan sementara operasi tren antara Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) dan Kempas Baru.

Ia berikutan pelaksanaan kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – JB Sentral (PLBEGJB) yang akan dijalankan di antara dua stesen tersebut.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zain Mat Taha menerusi kenyataan memaklumkan ia akan bermula pada 23 November 2021 dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada Mei 2022.

Ekoran itu, menurutnya, operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan JBS – Gemas –JBS dan Ekspres Rakyat Timuran bagi laluan JBS – Tumpat – JBS akan mengalami perubahan.

Manakala perkhidmatan Shuttle Tebrau di antara JBS – Woodlands – JBS masih tidak beroperasi sehingga kerja-kerja pembinaan ini selesai.

“Mulai 23 November, penumpang yang membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran perlu ke Stesen Kempas Baru kerana perkhidmatan tren akan tamat dan mula di stesen itu.

“Penumpang yang telah membeli tiket dari/ke JBS serta yang tidak berhasrat untuk meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Wallet melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS),” katanya.

Beliau berkata KTMB juga akan bekerjasama dengan syarikat e-hailing bagi memastikan ketersediaan pengangkutan alternatif di stesen yang terlibat

Sehubungan itu katanya, pengguna disarankan untuk merancang perjalanan bagi memudahkan pergerakan dan tidak menghadapi kesukaran pada masa akan datang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan jadual terkini dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu KTMB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here