Lepas PRU-14 kenapa Shafie tak persoal Mat Sabu? – Hishammuddin

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein keliru dengan sikap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membangkitkan isu keselamatan Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Hishammuddin berkata, kprihatinan Shafie hanya ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah tetapi tidak membangkitkan sebarang isu ketika Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menjawat jawatan menteri pertahanan.

Beliau juga hairan dengan pendirian Shafie yang meminta kerajaan berunding dengan kerajaan Filipina berhubung tuntutan negara itu ke atas Sabah.

“Semalam, Shafie Apdal beritahu media, beliau akur pendirian Kerajaan Persekutuan tidak mahu berunding dengan Kerajaan Filipina. Tetapi dalam akur, beliau persoal pula, apa tindak tanduk Kerajaan demi keselamatan Sabah. 

“Saya hairan, yang suruh berunding, Shafie. Kerajaan Persekutuan memang dari awal tidak layan tuntutan karut ke atas Sabah,” katanya di Facebook.

Hishammuddin berkata, Shafie kemudian mengubah topik ke soal keselamatan Sabah yang Kerajaan tidak pernah kompromi. 

“Lima tahun saya Menteri Pertahanan dari 2013-2019. Banyak inisatif demi perkukuh keselamatan Sabah telah dilaksanakan. Kalau Shafie hendak saya senaraikan semua memang banyak. Jadi, saya tulis sebahagian.

“Pertama; tempatkam 13 Briged ESSCOM di Felda Sahabat, kedua; bangunkan sebuah kem di Desa Kencana yang menempatkan 1 Batalion Infantri, unit logistik, unit Armor dan Pasukan Udara Tentera Darat.

 “Ketiga; tubuhkan Markas Task Force 450 di Kota Belud,’ keempat, tubuhkan 31 Briged Sempadan; kelima, naiktaraf pos kawalan sempadan; keenam, tambah pos kawalan di Tibau, Timbulan dan Luis.

“Ketujuh; aturgerak berpuluh aset tentera darat termasuk Lipan Bara, Gempita dan MIFV; lapan, bina Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di Lahad Datu; sembilan, naik taraf Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan 10, naik taraf Pangkalan Udara Labuan dan Lapangan Terbang Lahad Datu kepada Forward Operating Base,” katanya.

Beliau berkata itu hanya 10 inisiatif, sebaliknya banyak lagi yang telah dilaksanakan hanya ketika zaman beliau sebagai Menteri Pertahanan. 

“Boleh tonton video empat tahun lepas di bawah yang merangkumi semua inisiatif khusus untuk Sabah semasa saya Menteri Pertahanan.

“Jadi, kalau betul Shafie prihatin tentang keselamatan Sabah, kenapa selepas PRU-14 Shafie tak pernah persoal Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan? Kenapa tak serang Liew Chin Tong sebagai Timbalan MenHan? Kenapa masa PRN Sabah baru nak bangkitkan isu keselamatan?,” katanya.

Hishammuddin berkata, sepatutnya sempena Hari ATM hari ini, Shafie berterima kasih kepada para Perwira ATM yang bertungkus-lumus pertahan Keselamatan Sabah. 

“Bukannya jadikan isu keselamatan Sabah sebagai modal politik pilihan raya,” katanya yang turut meletak pautan video di status berkenaan.

Insiatif MINDEF SABAH