Anggota Sukarelawan Polis cedera dilanggar ‘Mat Rempit’

0
1

SEORANG anggota sukarelawan polis cedera selepas dilanggar sebuah motosikal ketika Ops Motosikal di Jalan Hashim, Kluang, Johor malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 35 tahun cedera di bahagian kepala dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata kejadian berlaku ketika operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang bermula jam 10 hingga 12 malam.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang seorang lelaki secara tiba-tiba membuat pusingan U ketika cuba melarikan diri selepas terserempak sekatan polis.

“Dalam cubaan itu, anggota sukarelawan polis itu tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dan kedua-dua mereka terjatuh.

“Lelaki berkenaan sempat melarikan diri namun berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian,” katanya seperti dilaporkan Hmetro, hari ini.

Abdul Razak berkata, penunggang motosikal berusia lingkungan 20 tahun itu turut cedera di bahagian kiri dan kanan tangan.

“Lelaki itu sudah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. -Malaysiapost