Akujanji komitmen menyeluruh PN untuk rakyat Sabah

0
2
PUTRAJAYA, April 25 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin during special interview at his office at Perdana Putra today. --fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

AKUJANJI ditawarkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai satu komitmen total atau menyeluruh untuk kepentingan rakyat Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu adalah usaha ke arah mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Akujanji itu juga katanya adalah komitmen luar biasa yang mengambil kira kesan Covid-19 khususnya di Sabah.

“Perkara dalam itu ada urusan Kerajaan Persekutuan, sebahagian yang lain membabitkan urusan kerajaan negeri. Ia agak utama dan penting untuk kita tawarkan satu tawaran baharu yang jauh lebih baik berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini sesuatu yang perlu kita lakukan kerana Sabah ada ramai rakyat yang perlukan pembangunan dan pembelaan dengan sokongan kerajaan negeri dan Pusat.

“Maka disebabkan itu, kita lancar Akujanji ini yang bagi saya satu komitmen yang total daripada GRS untuk mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap yang tinggi,” katanya pada pelancaran Akujanji atau Manifesto GRS, di Kota Kinabalu.

GRS ialah nama gabungan merujuk kepada kerjasama BN, PN dan PBS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Akujanji gabungan itu menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan serta pembangunan belia dan wanita.

Muhyiddin berkata, Akujanji itu turut mengambil kira situasi semasa berkaitan kesan Covid-19, khususnya di Sabah yang dilihat sangat terkesan dengan pandemik itu.

“Dalam keadaan sukar sekarang Covid-19 melanda, kesannya sangat besar dan membawa musibah berat dan Malaysia juga tidak terkecuali, termasuk Sabah. 

“Ada rakyat jatuh miskin dan bertambah miskin. Maka sebab itu komitmen kita hari ini bukan komitmen biasa. Ini komitmen luar biasa memandangkan situasi agak sukar yang tak pernah dihadapi Sabah,” katanya.

Katanya, Sabah antara yang teruk terjejas akibat pandemik itu dan ia memerlukan komitmen kerajaan negeri dan Pusat untuk memastikan kesan berkenaan dapat ditangani dengan sebaik mungkin. -Malaysiapost