SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi menegaskan poster yang memaparkan kononnya baginda menyeru rakyat menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah palsu.
Menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam poster tersebut.
“Ini adalah satu kenyataan palsu yang terus disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial.
“Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sultan Johor bertitah, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan Baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office.
Terdahulu, menerusi poster yang tular itu memaparkan gambar Sultan Ibrahim dengan kenyataan: ‘Sultan sudah bersuara, rakyat Melaka perlu tolak BN PRN Melaka.
“Kerajaan Umno perlu berhenti memperdaya rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah.” menurut kenyataan di poster terbabit. – Malaysiapost

