Polis ingatkan parti, calon hati-hati guna media sosial

0
2

PARTI politik dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihati sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

“Pasukan ini membabitkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.

Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Khas ‘Keselamatan PRN Melaka Ke-15’, malam tadi.

Abdul Majid berkata, apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri ini yang terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

“Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baharu dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik bertanding,” katanya.

Polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan mereka tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka dilindungi di negeri ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari mengundi PRN Melaka.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here