Apandi akan berat sebelah terhadap Tun M, dakwa Khairuddin

0
1

PELANTIKAN bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengetuai Pasukan Petugas Khas menyemak semula peruntukan undang-undang terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh dipertikai Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. 

Ketua Parti Pejuang Wilayah Persekutuan itu menyifatkan Apandi tidak layak mengetuai pasukan berkenaan kerana akan bersikap berat sebelah terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

“Beliau tidak layak sama sekali dan Apandi akan bersikap berat sebelah untuk mempertahankan pendirian kerajaan masa kini seterusnya mencipta alasan bagi menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mengapa pihak kerajaan tidak melantik tokoh personaliti  serta pakar bebas bagi mengetuai pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh mengenai semakan semula undang-undang berkaitan kes Pedra Blanca atau Batu Puteh?” soalnya dalam kenyataan, hari ini. 

Khairuddin menjelaskan Apandi juga tidak layak mengetuai kes bertaraf antarbangsa apabila beliau sendiri gagal mendakwa Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Menurutnya ketika seluruh dunia memperkatakan skandal 1MDB dahulu, Apandi pula mengesahkan skandal berkenaan tidak mempunyai asas kebenarannya.

“Saya pernah terbang ke Singapura, Hong Kong, Switzerland, Peranchis, United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk buat laporan salah laku Najib Razak mengenai skandal kewangan terbesar 1MDB kerana setiap laporan yang saya buat di SPRM dan PDRM tidak berjalan sama sekali.

“Akhirnya, terbukti secara sahih kerajaan Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura telah berjaya mengumpulkan pelbagai bukti salah laku Najib Razak yang merompak serta mencuri khazanah kerajaan mahupun duit rakyat.

“Malangnya, apandi ali masih berdegil tidak mahu terima kenyataan dan tetap menyatakan kes skandal 1MDB itu tiada asas kebenarannya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan Apandi akan mengetuai pasukan khas untuk menyemak semula isu perundangan kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here