Apandi ketuai pasukan semak semula tuntutan Batu Puteh

0
1

KERAJAAN bersetuju menubuh Pasukan Petugas Khas yang diketuai bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi menyemak semula undang-undang berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semakan semula isu perundangan berkenaan kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dipersetujui jemaah menteri pada 29 Oktober lalu.

“Pasukan khas ini ditubuhkan untuk membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen bersesuaian berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh ini. 

“Pasukan khas ini diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta wakil-wakil dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan dan kerajaan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Malaysia memfailkan permohonan semakan itu bersandarkan tiga dokumen didedahkan oleh United Kingdom.

Dokumen terbabit adalah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Pada 16 Februari 2017, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Peguam Negara ketika itu berkata beliau akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan itu di ICJ, di Hague, Belanda.

Bagaimanapun pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan itu sebelum kes itu dijadual didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi mencadangkan opsyen berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here