Sanusi ‘panas’ kritikan TMJ isu gaji

0
2
Muhammad Sanusi Md Nor

PRESIDEN Kedah Darul Aman FC, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membalas kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu tunggakan gaji pasukan negeri itu.

Tunku Ismail dalam satu hantaran di Instagram seolah-olah memerli pengurusan skuad bola sepak Kedah yang dilihat mempunyai masalah pembayaran gaji, namun melunaskannya apabila mahu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol,” kata TMJ.

Susulan itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dilihat tidak berpuas hati dengan teguran ‘pedas’ TMJ.

“La (sekarang) ni bulan sebelaih (November) dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” katanya menerusi Facebook.

Sementra itu dalam satu sidang media hari ini, Muhammad Sanusi memaklumkan keseluruhan RM21 juta gaji pasukan bola sepak Kedah sudah dibayar pada tahun ini.

“Ada orang cakap nak lawan JDT baru bayar gaji..saya kata kalau macam itu kena lawan JDT tiap-tiap bulanlah baru bayar gaji. Takkan macam itu..nak lawan JDT baru kita bayar.

“Saya ingat malam ni kita akan ‘balun’ JDT Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, pasukan Kedah sudah sedia maklum mengenai masalah tunggakan gaji dan ia bukan lagi rahsia iaitu dikatakan selama dua bulan.

Aksi longlai dalam perlawanan terakhir juga dikatakan berpunca daripada masalah tunggakan gaji, menyaksikan Kedah tewas 0-2 kepada Melaka United dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia 2021.

Menamatkan aksi kumpulan di kedudukan kedua, Kedah bakal bertemu juara Kumpulan D JDT, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here