Minta laksanakan hak yang asas pun susah? – Anwar

0
2

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa kerana hingga kini calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih tidak diberi ruang berkempen di saluran rasmi kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR, berkata pihaknya tetap berpendirian satu suara bahawa calon-calon PH mesti diberi ruang sama rata utuk berkempen di saluran rasmi seperti yang dihajati kerajaan.

“Namun, sehingga kini belum nampak ada usaha dan kesediaan jelas ke arah itu, termasuk menganjurkan debat antara calon-calon Ketua Menteri Melaka.

“Ini tidak sihat untuk sistem demokrasi kita yang sudahpun terjejas teruk akibat wabak. Minta laksanakan hak yang asas pun susah?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menteri Komunikasi Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan semalam memaklumkan poster dan biodata semua calon parti yang bertanding pada PRN Melaka akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula hari ini.

Beliau berkata, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN berkenaan.

Annuar berkata, kerajaan juga meminta agar RTM merangka slot masa bersesuaian untuk menyiarkan bahan kempen itu tanpa mengganggu program yang dirangka agensi berkenaan sebelum ini.

Jelasnya, RTM telah diarah untuk menghubungi setiap calon bagi membekalkan bahan berkempen namun dengan syarat ia tidak boleh menimbulkan sebarang polemik ataupun kontroversi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here