SEBUAH pusat hiburan yang beroperasi di bangunan tiga tingkat di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur dengan menyajikan khidmat pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya bermula jam 12 tengah malam itu seramai 23 warga asing berjaya ditahan.
JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan awal mendedahkan operasi dijalankan di pusat hiburan tanpa papan tanda berkenaan yang berselindung di sebalik bangunan tiga tingkat.

Menurutnya, ketika serbuan pintu hadapan pusat hiburan berkenaan ditutup dan hanya membuka pintu kecil di bahagian belakang seperti tidak dikunjungi namun ia menyajikan pelbagai jenis hiburan serta perkhidmatan pelayan wanita.
“Semasa serbuan, wanita-wanita warga asing dan pelanggan cuba untuk melarikan diri tetapi digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung.
“Dalam serbuan ini, seramai 23 orang warga asing terdiri daripada 20 wanita Vietnam, seorang wanita Indonesia dan dua lelaki masing-masing seorang warga China dan seorang Bangladesh berumur diantara 19 hingga 37 tahun berjaya ditahan,” menurut kenyataan itu.

JIM memaklumkan antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua mereka telah ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Malaysiapost

