Amanah tekad lahir lebih ramai Adly Zahari

0
2

AMANAH bertekad melahirkan lebih ramai lagi pemimpin masa hadapan seperti bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari. 

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, prestasi cemerlang Adly Zahari menerajui kerajaan negeri Melaka dahulu telah membanggakan partinya. . 

Beliau berkata, Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu berjaya membuat perubahan di negeri itu ketika memerintah selama 22 bulan. 

“Inilah corak kepimpinan baharu Malaysia sekarang dan pada masa akan datang. Individu seperti Adly Zahari akan muncul lebih banyak lagi pada masa akan datang kerana Amanah berazam untuk memberikan keadilan kepada semua.

“Tugas ketua menteri dan exco supaya mencari jalan (supaya) kerajaan banyak duit. Ini yang dilakukan di Pulau Pinang, Selangor di mana kita berusaha supaya kerajaan dapat duit banyak untuk membantu rakyat,” ucapnya pada ceramah perdana PRN Melaka yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook DAP, malam tadi. 

Hadir sama dalam siaran langsung itu adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu menjelaskan, kepimpinan Adly di Melaka ketika pemerintahan PH pada 2018 lalu jelas diterima semua kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kepimpinan Adly ketika itu padanya adalah satu kepimpinan yang adil dan saksama dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

“Adly Zahari berlatar belakangkan NGO berjaya membuat perubahan di negeri Melaka, kita lihat menjadi pemimpin politik terutamanya exco-exco kerajaan negeri bukan bertujuan untuk memperkayakan diri sendiri.

“Tetapi ini memperbanyakkan wang negeri dan digunakan kepada rakyat. sebab itu saya berbangga dengan Ketua Menteri PH dahulu Adly Zahari yang diterima oleh semua kaum dan mereka anggap beliau adalah pemimpin yang adil dan memberi bantuan secara saksama,” katanya lagi.

Pada PRN Melaka ini Adly yang juga Naib Presiden Amanah akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, dicabar Datuk Hasnoor Husin (BN),  Muhammad Al Afiz Yahya (Pas), dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas) dalam persaingan empat penjuru.

PH juga telah mengumumkan Adly akan dilantik sekali lagi menjadi Ketua Menteri Melaka jika gabungan memenangi PRN Melaka pada 20 November ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here