‘Jual’ imej Muhyiddin, tunjuk PN terdesak

0
2

LANGKAH Perikatan Nasional (PN) ‘menjual’ imej Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan taktik lapuk yang ketinggalan 20 tahun ke belakang.

Perkara itu disuarakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang berkata, keberkesanan taktikal itu belum dapat dipastikan sama ada membantu Bersatu menang atau sebaliknya.

“Tapi bagi saya itu taktik 20 tahun lalu. Mungkin kajian PN mendapati Muhyiddin ni, dari segi kekuatannya jauh meninggalkan Ismail Sabri (Perdana Menteri).

“Sebab tu PN letak muka Muhyiddin banyak-banyak seolah-olah dia yang nak bertanding. Padahal yang nak bertandingnya (di Paya Rumput) bernama Faris. Sepatutnya dialah yang banyak ditonjolkan,” katanya dipetik dalam wawancara khas Malaysiakini, hari ini.

Mengulas mengenainya, Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, beliau mengesyaki PN sedar kekuatan mereka sebenarnya berada pada pemimpin tertinggi, bukannya para calon yang diturunkan bertanding.

Mungkin kerana itulah, katanya, PN terdesak dan meletakkan gambar Muhyiddin Yassin di merata-rata tempat walaupun Presiden PN itu tidak bertanding langsung di Melaka.

Dalam PRN Melaka ini, Shamsul Iskandar diturunkan PH untuk bertanding mempertahankan kerusi Paya Rumput dan berdepan dengan cabaran empat calon lain iaitu Muhammad Faris Izwan Mazlan (Bersatu-PN), Rais Yassin (Umno-BN), Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra) dan Mohd Jaini Dimon (bebas).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PH memenangi kerusi Paya Rumput melalui calob Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen
dengan kelebihan 4,259 undi.

Bagaimanapun, Mohd Rafiq meninggalkan kerusi dimenanginya itu untuk bertanding di DUN Telok Mas atas lambang PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here