Poster dan biodata calon PRN Melaka disiar RTM bermula esok

0
1

KEMENTERIAN Komunikasi Multimedia (KKMM) membenarkan poster dan biodata semua calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula esok.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN berkenaan.

“Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, maka kita (kerajaan) bersetuju supaya RTM menambah kekerapan menyiarkan biodata-biodata dan potret-potret calon yang bertanding mulai esok,” katanya pada sidang media di Alor Gajah, hari ini.

Mengulas mengenainya, Annuar berkata, kerajaan juga meminta agar RTM merangka slot masa bersesuaian untuk menyiarkan bahan kempen itu tanpa mengganggu program yang dirangka agensi berkenaan sebelum ini.

Jelasnya, RTM telah diarah untuk menghubungi setiap calon bagi membekalkan bahan berkempen namun dengan syarat ia tidak boleh menimbulkan sebarang polemik ataupun kontroversi.

“Jadi RTM sedang buat persiapan termasuk (penyiaran) ketika waktu perdana supaya usaha untuk memperkenalkan calon yang bertanding secara adil dan saksama akan boleh dilakukan mulai esok hingga Jumaat iaitu sehari sebelum mengundi.

“Saya harap ada ruang yang cukup untuk membolehkan usaha itu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, mana-mana calon terutama di kawasan luar bandar yang mengalami gangguan jalur lebar ketika berkempen di dalam media sosial, boleh memanjangkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kalau ada tempat yang mengalami masalah sedemikian kita ada pasukan yang boleh ‘boost coverage’ (lonjakkan liputan) di sesuatu kawasan. Sebelum PRN kita dah buat semakan dan talian okey.

“Tapi bila ramai orang guna kemungkinan ada ‘experience’ (mengalami) dari segi capaian yang rendah. Tapi kalau ada kawasan yang ekstrem sebegitu mereka boleh maklumkan. SKMM on standby (dalam tunggu sedia) dan syarikat telekomunikasi telah diminta untuk memberikan kerjasama untuk memasang booster (penggalak) untuk meningkatkan kelajuan internet,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here