‘Mahu sidang media, jika kena kompaun kamu bayar’ – Anwar

0
1

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bergurau meminta petugas media membayar kompaun sekiranya mahu beliau mengadakan sidang media.

Anwar yang hadir menjamu selera di sebuah warung di Felda Tun Ghaffar, Kemendor mengelak daripada membuat sebarang kenyataan meskipun petugas media telah menyediakan tempat yang sesuai.

“Mana boleh sidang media, SOP (prosedur operasi standard) tak benarkan. Saya tak mahu bayar kompaun RM10,000.

“Kamu semua (media) mahu sidang media? Kalau kena kompaun kamu bayar ya?” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Keengganan Anwar itu menyebabkan petugas media yang kebanyakannya menempuh perjalanan lebih kurang satu jam untuk hadir membuat liputan di situ kecewa.

Cubaan media untuk mendapatkan kenyataan daripada Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga gagal.

“Tak boleh, tak boleh (bagi kenyataan) nanti RM4,000 (kena kompaun), saya tak ada duit,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan larangan aktiviti secara bersemuka bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, SOP bagi liputan media tidak jelas menyebabkan ada pemimpin politik bimbang dikenakan tindakan kompaun.

Difahamkan situasi sama berlaku ketika kehadiran Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika petugas hadir membuat liputan di Tanjung Bidara pada Jumaat.

Najib menolak memberi sebarang kenyataan kepada media dengan alasan sama. – Malaysiapost

Foto kredit BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here