POLIS mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin berhubung dakwaan memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah.
Siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh wanita itu.
Memetik Malaysiakini, laporan dibuat Juliani di balai polis dalam daerah Kuala Langat pada bulan lepas, kejadian yang didakwa berlaku pada 21 Ogos, ketika kedua-dua mereka masih merupakan pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya telah memulakan siasatan.
“Saya mengesahkan ada terima laporan polis tersebut sahaja. Saya ulas setakat tu dulu buat masa ini, tentang isi kandungan saya tak akan ulas apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Hasnul yang merupakan Adun daripada Amanah dan Timbalan Speaker DUN Selangor mendakwa laporan itu dibuat dengan ‘niat jahat’ selepas perceraian mereka.
“Laporan itu berniat jahat. Bukannya lepas berlaku dia terus report polis. Laporan itu dibuat selepas saya menceraikan dia, jadi berniat jahatlah.
“Polis pun dah siasat benda tu. Ringkasnya, kalau betul saya bersalah, polis akan ambil tindakan segeralah,” katanya dipetik Malaysiakini.
Juliani, 38, dalam laporannya, mendakwa Hasnul memukulnya kira-kira jam 11 malam pada 21 Ogos lalu di rumah mereka di Banting sehingga menyebabkan kecederaan di muka.
Menurutnya, laporan itu dibuat beberapa bulan selepas kejadian itu untuk dikemukakan bagi rujukan Mahkamah Syariah dan tindakan lanjut terhadap Hasnul.
‘Dia terkam, tampar dua tiga kali,” katanya.
Juliani menjelaskan dia tidak segera membuat laporan polis kerana Hasnul pada masa itu memujukkan untuk tidak berbuat demikian.
“Kejadian berlaku pada 21 Ogos. ketika itu saya kena pukul sebab suami saya minta nak berpoligami.
“Saya cuba nak pujuk dia masa tu, tapi tak diendahkan. So terjadi benda tu, dia nampak saya nangis tak boleh control, dia terkam, tampar dua tiga kali sampai pecah berdarah bibir saya. Masa tu saya belum buat laporan polis sebab dia pujuk untuk tak buat laporan,” katanya. – Malaysiapost

