Penyertaan Putra di Melaka persiapan hadapi PRU – Ibrahim

0
3

PENYERTAAN parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah langkah permulaan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, parti itu merupakan kuasa ketiga dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

“Putra tidak akan jual bangsa sendiri dan mempermainkan Islam untuk politik. Cemar Islam kerana politik yang bertopengkan Islam,” katanya dalam perutusan sempena PRN Melaka.

Ibrahim berkata, Putra bukan hipokrit dan mahu bersifat berterus terang serta telus kepada rakyat.

Menurutnya, Putra bertekad membetulkan keadaan supaya rakyat seimbang dalam semua aspek kehidupan terutama pembahagian kek ekonomi negara, pembentukan dasar, tiada ‘double standard’ demi keselamatan negara dan rakyat.

“Kaum peribumi yang majoritinya 70 peratus merupakan kaum asal wajib dihormati dan kehidupannya mesti selesa dahulu sebelum hendak memberi muka kepada pihak lain atau merobek hak bangsa terjamin dalam perlembagaan negara,” katanya.

Sebelum ini, Ibrahim mengesahkan Putra hanya bertanding di lima kerusi di PRN Melaka berbanding jangkaan awal sebanyak 13 kerusi sebelum ini.

Beliau dilaporkan turut mengakui sukar bagi parti itu untuk menang kerana baharu berusia hampir tiga tahun dan tidak mampu menyediakan persiapan terbaik untuk PRN Melaka.

Kelima-lima calon Putra adalah Dr Muhammad Alwi Sani, 55 (Pengkalan Batu); Laila Maun, 44, (Jasin); Muhammad Faizal Hamzah, 44 (Duyung); Nazatul Ashraf Mohd Dom, 38 (Sungai Rambai); dan Muhmmad Hasidi Mohd Zain (Paya Rumput). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here