PERIKATAN Nasional (PN) menafikan kononnya 12 bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup disebabkan Covid-19.
Setiausaha Eksekutif PN Saiful Adli Mohd Arshad, memaklumkan kenyataan tular memetik pemimpin PN negeri yang tersebar sejak tengah hari tadi adalah palsu.
“Kenyataan itu adalah kenyataan palsu, harap maklum,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu tular kenyataan bertarikh hari ini yang memetik Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengatakan 12 bilik gerakan terbabit ditutup akibat Covid-19.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengeluarkan notis penutupan Bilik Gerakan PN DUN Telok Mas, berkuatkuasa semalam sehingga 26 November ini.
Notis penutupan itu dikeluarkan berikutan terdapat pengesanan kes Covid-19 dalam kalangan individu yang berada di premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman, dilaporkan berkata pihaknya turut mengeluarkan notis kompaun RM10,000 selepas mendapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana pihak yang terbabit tidak menyediakan pengimbas suhu di premis seperti yang diarahkan,” katanya. – Malaysiapost

