PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berasa sedih dengan penghinaan dibuat oleh pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang ‘mengisytiharkan’ sejarah BN telah berakhir dalam satu ucapannya baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu datangnya daripada seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dokongan dan sokongan dari ahli akar umbi BN.
Beliau berkata, penghinaan itu bagaimanapun tidak mengurangkan keyakinan dan kesetiaan seluruh pendokong dan penyokong BN di seluruh negara.
“Tidak mengapalah Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahu menyatakan apa pun kerana pendokong dan penyokong BN yang setia lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya.
“Rakyat juga telah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas,” katanya hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata pelbagai tohmahan dan hinaan dilemparkan kepada BN, namun tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan seluruh pendokong dan penyokong parti itu di seluruh negara.
“Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi.
“Penghinaan Pengerusi PN itu malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini,” katanya.
Menurutnya, seluruh ahli dan penyokong BN akan berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepada PN bahawa sejarah BN belum berakhir.
“Ternyatalah keputusan akar umbi Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu merupakan satu langkah yang tepat.
“Kata-kata Presidennya itu sekaligus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar Bersatu ke atas BN dan Umno amnya,” katanya. – Malaysiapost

