PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata ‘kalau saya tekan butang Johor jatuh’ yang berbaur ugutan, kata Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.
Menurut Noor Hariri, menyifatkan tindakan Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan ayat membawa maksud mengugut, amat memalukan.
“Rakyat semua tahu Muhyiddin juga bergantung kepada kerjasama antara Umno. Muhyiddin juga jangan lupa, Umno yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri walaupun Bersatu mempunyai kerusi sedikit.
“Jadi jangan main ugut-ugut macam budak kecil. Kalau nak tarik, silalah tarik. Pendayung ada di tangan. Kayuhlah ke mana arah yang nak di bawa Bersatu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemelut politik yang berlaku di Melaka sebelum ini adalah tindakan pengkhianat yang tentunya tidak mendapat sokongan daripada Umno.
“Umno kekal tidak akan bekerjasama dengan pelompat parti dan penuh skandal moral peribadi.
“Pesanan saya kepada Tan Sri Muhyiddin, tepuk dada tanya selera. Anda telah rosakkan peluang 17 bulan memerintah negara. Ternyata gagal. Jadi duduk diam-diam. Ikut sahaja arus di bawah pentadbiran Perdana Menteri baharu ini,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menyelar cabaran yang dilontarkan oleh veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai ‘bodoh’ yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat Johor jika berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.
“(Cabaran) itu berniat jahat. Shahrir nak macam mana berlaku di Melaka, berlaku di Johor.
“Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor,” katanya.
Terdahulu, Shahrir dalam hantaran di Facebook berkata, Umno telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya wakil rakyat daripada Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor. – Malaysiapost

