BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mahu mengulas buku bertajuk ‘What’s in a Name’ yang ditulis adiknya, Datuk Seri Nazir Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau berpegang kepada pesanan Allahyarham ibunya Tuh Rahah Mohamed Noah yang tidak membenarkan perihal keluarga didedahkan kepada pihak luar.
“Sebenarnya perkara seperti ini kalau melibatkan hal keluarga saya berpegang kepada apa bonda saya kata..kita mesti kalau ada masalah selesaikan dalam keluarga kita..kita tak boleh barai pada luar tak elok nampaknya,” katanya dalam sebuah video semalam.
Najib berkata, sebagai anak sulung dalam keluarga beliau akan berpegang kepada nasihat yang diberikan oleh bendanya.
Menurutnya, walaupun beliau boleh mengulas mengenai perkara tersebut tetapi adalah lebih baik beliau mendengar pesanan daripada arwah ibunya.
“Jadi saya sebagai yang sulung, yang tua sekali saya berpegang pada itu. Saya boleh ulas tapi saya lebih nak ikut apa yang bonda saya cakap..lagipun perkara ini ada dalam mahkamah, jadi itu pun boleh jadi masalah subjudis nanti kalau saya sentuh,” katanya.
Nazir melancarkan buku What’s in a Name mengisahkan tentang keluarga, kerjaya dan jiwa Malaysianya.
Kandungan buku tersebut juga sebagai memoir dengan memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta hubung kait dana itu dengan Najib.
Buku itu mula dipasarkan pada 8 November lalu. – Malaysiapost

