Polis tahan pemandu van gilis pelajar sehingga maut

0
4

PEMANDU van sekolah yang menggilis seorang murid perempuan sehingga maut telah ditahan polis, hari ini.

Ketua Jabatan dan Siasatan Trafik (JSPT) Selangor, Supritendan Azman Shari’at berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 12.10 tengah hari ini di kawasan taman perumahan Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu seorang perempuan Melayu berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan dan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang murid perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut.

“Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, mangsa sebelum itu telah diambil oleh pemandu van berkenaan dari sebuah sekolah berhampiran dan kemudian dihantar ke pusat transit sebelum ke Sekolah KAFA.

“Ekoran dari kejadian itu, mangsa yang berusia 7 tahun telah dihantar ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan kejadian van tersebut melanggar murid perempuan berkenaan.

Menurut Azman, pemandu van sekolah tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here