BN tak janji perkara-perkara pelik – Ahmad Maslan

0
3

MANIFESTO ditawarkan Barisan Nasional (BN) mampu membawa Melaka menjadi negeri terbaik dan cemerlang jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Ahli Parlimen Pontian itu turut menyifatkan manifesto yang diumumkan BN kelmarin sebagai realistik, inklusif dan komprehensif. 

“Apabila saya sebut inklusif ini ia melibatkan B40, M40 dan juga T20 dan pada ketika yang sama ia juga membela belia, wanita dan juga orang kurang upaya (OKU), warga emas. 

“Itu dari segi sasaran yang sangat inklusif selain menyelesaikan masalah banjir dan agar Melaka terus menjadi negeri pelancongan moden dan baik dengan adanya manifesto ini. 

“Realistik itu boleh dibuat, inklusif melibatkan semua pihak, komprehensif pula melibatkan pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan budaya. Senang sahaja buat pilihan sudah terbukti, ayuh kita undi BN,” katanya seperti dilaporkan Umno Online. 

Ahmad berkata, manifesto itu juga akan ditambah baik mengikut keadaan semasa selain dimasukkan ketika pembentangan bajet oleh kerajaan negeri. 

“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, malah kita menumpukan kepada pendidikan, kesihatan, perhubungan, pembangunan, pertanian, pelancongan. Perkara yang berhubung kait dengan rakyat. 

“Bukan menjanjikan perkara-perkara pelik yang tidak boleh ditunaikan, jadi BN memberikan suatu yang cukup realistik. 

“Kenapa kita hendak mencuba sekali lagi melakukan kesilapan dengan memilih parti-parti yang tidak ada rekod panjang memajukan negeri serta negara,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here