MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya Malaysia sudah bersedia untuk membuka sempadan negara dalam fasa endemik.
Beliau berkata, ia selaras penubuhan pusat sehenti (OSC) untuk kemasukan pelawat perniagaan, dengan menjadikan Langkawi sebagai projek perintis pelancongan antarabangsa.
“Dengan penubuhan Pusat Sehenti (OSC) untuk pelancong perniagaan, Pulau Langkawi menjadi projek perintis untuk pelancongan antarabangsa.
“Projek selama tiga bulan ini akan menilai halatuju industri pelancongan antarabangsa. Saya yakin, pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, cergas dan kukuh dapat dicapai dengan kesepakatan semua,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau turut menyertai dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) secara dalam talian.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sekiranya vaksinasi sejagat dicapai, ekonomi dunia dijangka dapat dibuka sepenuhnya.
“Namun, saya sedar sesetengah golongan masyarat dan peniaga menghadapi kesukaran dan memerlukan bantuan untuk bangkit semula setelah ekonomi kembali aktif.
“Kerajaan telah menyediakan pakej ransangan RM530 bilion dan geran khas sebagai insentif untuk mengurangkan kesan pandemik kepada usahawan PKS dan keluarga yang telah terjejas teruk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru sektor swasta untuk memainkan peranan yang lebih besar ke arah transformasi digital yang berdaya tahan dan mampan.
“Digitalisasi membawa impak besar untuk kelestarian ekonomi baharu.
“Inisiatif APEC iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER) perlu dilaksana sepenuhnya untuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan didayakan secara digital,” katanya. – Malaysiapost

