
SEBANYAK 49 kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan setakat tengah malam tadi.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 29,535 kes sejak virus maut tersebut melanda negara.
Berdasarkan data portal COVIDNOW, daripada jumlah kematian baharu itu 14 daripadanya dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Setakat tengah malam tadi, terdapat 63,827 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 49,714 individu daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah manakala 7,945 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sementara itu, sebanyak 5,630 kes dirawat di hospital dan 538 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 264 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 274 lagi memerlukan mesin ventilator. – Malaysiapost
