
CALON Barisan Nasional (BN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem bukan sahaja mesra rakyat, bahkan telah biasa berkhidmat kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Mohd Noor Helmy telah biasa membantu rakyat atas kapasitinya sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kawasan Duyong.
“Beliau sangat mesra dengan rakyat, sentiasa menghabiskan masanya untuk berkhidmat kepada rakyat, menyelesaikan pelbagai isu tempatan seperti masalah banjir, pengaliran longkang, kerosakan jalan raya dan isu-isu setempat yang lain diselesaikan dengan cepat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, Mohd Noor Helmy antara Ketua Pemuda yang aktif menyahut inisiatif Pemuda Umno yang menganjurkan #PemudaBantuRakyat dengan menawar khidmat sanitasi nyahkuman Covid-19 secara percuma.
Katanya, lebih membanggakan apabila Calon BN DUN Duyong itu mewujudkan ‘Team Sanitasi Pemuda Umno Kota Melaka’ yang menawarkan khidmat sanitasi awam percuma kepada rakyat tidak mengira agama dan bangsa.
“Sehinggakan dalam rekod, beliau dan team sanitasi telah berkhidmat mensanitasi (nyahkuman) secara percuma kepada 5,340 rumah di seluruh Parlimen Kota Melaka termasuk di Duyong.
“Moga Allah memberikan kemenangan kepada beliau dan membuka hati pengundi-pengundi di DUN Duyong untuk memberi sokongan kepada Helmy dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti,” katanya. – Malaysiapost
