
UMNO Tangga Batu menafikan wujud sebarang usaha bagi menyekat pengaruh politik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.
Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata dakwaan Nor Azman itu merupakan satu kenyataan yang terdesak bagi menagih simpati pengundi khususnya dari Umno.
“Pada saya kenyataan tersebut jelas berniat jahat, terdesak dan hanya bertujuan untuk menagih simpati pengundi Umno kerana beliau sedar tanpa pengundi dan jentera Umno, mustahil untuk beliau pertahankan kerusi DUN Pantai Kundur.
“Beliau dipecat dari parti kerana tindakannya yang rakus kuasa sehingga menyebabkan kerajaan negeri diterajui Umno tumbang,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Terdahulu Azman ketika ditemubual sebuah portal Sabtu lalu mendakwa, wujud politik ‘pancung-memancung’ di peringkat kepimpinan Umno Bahagian Tangga Batu.
“Dalam politik ini ada ‘pancung-memancung’ bila dia tengok kita ini melebihi (dan) ada pengaruh jadi mereka melihat orang ini bahaya, menggugat dan boleh menggangu di peringkat atasan. jadi senang cerita mesti dipancung.
“Bila buat macam tu siapa yang rugi (sedangkan), saya ini aset (parti) dan saya sangat sayangkan Umno, nenek moyang saya tak ada parti lain melainkan Umno,” katanya memetik rakaman perbualan tersebut.
Seterusnya Mohamad Ali yang mesra dengan panggilan Cikgu Ali mencabar Azman untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan segala dakwaannya itu.
“Kalau boleh tidak mahu memanjangkan isu ini, namun sebagai Ketua Umno Tangga Batu, menjadi tanggungjawab saya untuk tampil pertahankan bahagian ini dari sebarang fitnah dan dakyah politik murahan seperti ini.
“Terpulang kepada beliau untuk terima atau tidak tapi kalau betul kononnya beliau dianiaya Umno Tangga Baru, mari kita bersemuka dan biar rakyat di Tangga Batu menilai siapa benar dan siapa salah,” tegasnya lagi. – Malaysiapost
