Hadi Awang: Rakyat Melaka jangan salah pilih, BN dan PH ada kelemahan

0
3

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai lemah dan gagal menguruskan Melaka dengan baik.

Beliau berkata, rakyat sedar akan kelemahan itu dan harus menjadi pengajaran buat mereka dalam memilih gabungan yang mampu mentadbir negeri itu dengan baik.

“Cukup pilihan raya lalu memberi pengalaman sangat baik kepada seluruh rakyat termasuk di Melaka yang ada peluang untuk pilihan raya kerana kita tak berpuas hati dengan kerajaan Barisan Nasional yang sudah lama memerintah setengah abad, 60 tahun, sudah tentu ada kelemahan-kelemahannya.

“Akibat kelemahan ini. Rakyat menolak BN dan memilih Pakatan Harapan (PH), bergantung kepada janji-janji manifesto, banyak sangat yang nak dibuat termasuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam, nak hapuskan tol.. di atas janji yang bukan-bukan ini maka rakyat termasuk rakyat di Melaka memilih PH menolak BN.

“Dan tiba-tiba janji tak ditunaikan. Rakyat terus mengalami masalah… nak salahkan siapa.. salahkan kitalah (rakyat).. salah mengundi. Undi PH kita terima hakikat, (manakala) BN ada kelemahan,” katanya berucap pada ‘Pentas PRN Melaka PN’ disiarkan secara langsung malam ini.

Justeru, beliau berharap rakyat di Melaka dapat memilih parti yang betul dan layak di PRN pada 20 November ini bagi mentadbir kerajaan negeri itu.

“Tinggal beberapa hari lagi, rakyat Melaka yang berhak mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka mengikut amalan demokrasi.

“(Mengundi) satu tanggungjawab yang besar bukan untuk bersuka ria, kerana kesannya bertahun-tahun. Kalau salah pilih, kita akan terima akibatnya, memilih yang betul, kita terima nasib yang baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here