DAKWAAN warganet yang mendakwa penemuan emas di Kampung Boluoh Bongkol di Pitas terjawab apabila pihak berkuasa mengesahkannya batuan pirit atau dikenali sebagai ’emas palsu’.
Pemangku Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah Webster Wong Vui Ching telah mengesahkan bahawa mineral yang menyerupai emas yang ditemui di atas bukit di Pitas sebenarnya adalah pirit, mineral besi sulfida dengan kilauan seperti logam, lapor FMT.
Vui Ching berkata sepasukan pegawai dari jabatan itu pergi ke tapak yang didakwa itu semalam bagi mengambil sampel untuk diperiksa.
“Pegawai kami tidak menemui sebarang emas tetapi hanya pirit,” katanya.
Beliau berkata beberapa individu juga telah datang ke pejabat JMG sebelum ini dengan membawa batu diselaputi warna keemasan namun kali ini penemuannya menjadi tumpuan kerana tular di media sosial.
“Ia sama sahaja kerana batu-batu itu adalah pirit, tetapi pada masa itu, WhatsApp dan Facebook tidak digunakan meluas seperti hari ini jadi kes-kes itu tidak tular tidak seperti sekarang apabila ada media sosial,” katanya.
Isnin lalu, warganet dilaporkan berkongsi foto dalam WhatsApp dan Facebook susulan penemuan batu seakan emas di sebuah bukit di Kampung Boluoh Bongkol.-Malaysiapost

