Sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa pada 1 Januari 2022

0
3

MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini memutuskan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepat pemulihan sektor pelancongan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia diputuskan selepas mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang kini dilihat amat baik.

“Jadi mesyuarat juga mengambil maklum mengenai situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini.

“Selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan untuk memulakan perniagaan mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara Bilangan 5 tahun 2021 pagi tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat turut diberi taklimat mengenai kedudukan prestasi sektor dan sub-sektor ekonomi oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, ia menunjukkan indikator bagi prestasi ekonomi pada Suku Tahun Kedua, 2021 masih lagi di bawah paras pra-pandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali sektor Pembuatan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan prospek ekonomi negara bagi Suku Tahun Ketiga dan Keempat, 2021 menunjukkan keadaan ekonomi masih mencabar.

“Oleh yang demikian, bagi mencapai kadar pertumbuhan disasarkan bagi tahun 2021, usaha berlipat ganda, pantas, bersepadu dan mengikut keutamaan bagi meningkatkan ekonomi ditekankan oleh Majlis,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat dimaklumkan perkembangan terkini berkaitan penambahbaikan keberkesanan pengesanan kontak melalui penerapan teknologi yang telah dipersetujui dalam mesyuarat MPN bilangan 2, 2021.

Katanya, penambaikan itu sangat penting sebagai salah satu kaedah pengawalan penularan Covid-19.

“Ia sementara kita membuka kegiatan ekonomi dan sosial menuju fasa endemik. Penambahbaikan ini telah bermula secara berfasa dan Majlis bersetuju supaya pelaksanaan secara menyeluruh dibuat selewatnya Januari 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here