PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang, yakin cadangan itu adalah saluran terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang.
“Saya sambut baik malah mengalu-alukan hasrat kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon PRN Melaka termasuk yang ditonjolkan PH di saluran media rasmi kerajaan.
“Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, BN dan PN yang bertanding di Melaka.
“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar sebelum ini mengumumkan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri jika PH diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri.
BN pula menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika menang PRN kali ini.
Bagaimanapun PN setakat ini masih belum menamakan calon Ketua Menteri mereka. – Malaysiapost

