‘White House’ jadi pusat gerakan calon bebas

0
3

Syaf Ziyad

Sebuah rumah kayu digelar ‘White House’ di Kampung Tebat, Alor Gajah menjadi pusat gerakan bagi calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, K Murali dan tiga rakan baiknya berbangsa Melayu dan Cina yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Menurut Murali, 53, nama ‘White House’ itu adalah gelaran diberi bagi menunjukkan kesungguhannya bersama rakan, Azizah Harun, Lye Wah Min dan Sharudin Sulaiman merancang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Sebenarnya, rumah ini adalah peninggalan mendiang ibu dan orang tua saya. Azizah dan Wah Min adalah kawan rapat sejak kecil sebab itu kami tidak kekok malah sudah menganggap seperti adik beradik.

“Istillah ‘White House’ ini juga kerana rumah ini sudah dicat semula untuk memudahkan rakyat mencari rumah ini pada musim PRN dan menyampaikan mesej tiada warna kulit yang boleh dinilai sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui Malaysiapost di rumahnya hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Alam Sekitar Melaka (PPASM) berkata, baginya tiada istilah kaum Melayu, Cina atau India dalam kamus hidupnya sejak kecil lagi.

“Sebab itu juga, Wah Min dan Shaharudin sanggup menjadi pencadang dan penyokong saya sebagai calon PRN kali ini sambil dibantu Azizah yang juga persara guru sebagai pengurus kempen.

“Inilah sikap sebenar yang perlu ditonjolkan setiap pemimpin negara supaya mengenepikan segala perbezaan dalam memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai modal kempen atau manifesto yang akan diangkat untuk memenangi hati pengundi 20 November ini, Murali berkata ia masih diperhalusi namun akan berteraskan ‘Nafas Rakyat’

Ia juga katanya, selari dengan lambang pokok yang dipilih membawa maksud pokok adalah pemimpin yang memerlukan rakyat sebagai kekuatan untuk terus mentadbir negeri.

“Bagaimanapun antara perkara yang menjadi janji saya adalah memperjuangkan kebajikan warga emas di Rembia selain pendidikan generasi muda yang akan terus diperkasakan.

“Harapan saya, keluarlah mengundi pada 20 November ini untuk memilih wakil rakyat yang dirasakan mampu membawa kemakmuran tanpa terpengaruh dengan warna bendera politik diwakili,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here