SERAMAI 124 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sebuah kompleks perniagaan, di Jalan Burma, Pulau Pinang, semalam.
Serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dijalankan oleh sepasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais, berkata serbuan dilakukan ketika kesemua individu berkenaan sedang meraikan sambutan hari jadi di pusat hiburan terbabit.

Menurutnya, polis juga terpaksa memecahkan pintu hadapan premis untuk masuk kerana pintu telah dikunci daripada dalam.
“Pemeriksaan mendapati 124 individu termasuk warga asing berusia 15 hingga 70 tahun terdiri daripada 99 lelaki dan 25 wanita sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat bagi meraikan hari jadi salah seorang pelanggan berkenaan.
“Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatoo ahli kumpulan kongsi gelap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing daripada 124 individu yang ditahan mendapati 21 positif pelbagai jenis dadah dan kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang).
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin),” katanya. – Malaysiapost

