Berucap dalam Bahasa Melayu, contoh kualiti pimpinan PAS – Khairil Nizam

0
3

PENAMPILAN Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengangkat Bahasa Melayu ketika berucap dalam sebuah persidangan antarabangsa adalah suatu keberanian.

Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin, berkata pilihan Tuan Ibrahim untuk berucap menggunakan bahasa kebangsaan dalam persidangan luar sewajarnya menjadi contoh kualiti kepimpinan PAS yang diberikan amanah dan kepercayaan mewakili Malaysia ke persada antarabangsa

“YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Malaysia dalam Kenyataan Negara di Segmen Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-26 telah membawa lembaran baru untuk Malaysia.

“Beliau telah memulakan ucapan dengan petikan ayat al-Quran, kalam Allah serta menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

“Jarang sekali kita dapat lihat pemimpin Malaysia menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Selalunya kita hanya mendengar wakil Turki, Jepun dan Perancis yang sering menggunakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya di pentas antarabangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Khairil Nizam berkata, ucapan komprehensif Timbalan Presiden PAS itu mengenai Malaysia dan kementerian dalam pengurusan alam sekitar negara dapat memberi panduan buat negara-negara lain yang hadir dan mendengar ucapan Tuan Ibrahim malam tadi.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mencuri perhatian selepas tampil berani menggunakan bahasa kebangsaan pada persidangan antarabangsa di Glasgow, Scotland malam tadi.

Beliau yang mewakili Malaysia dan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, berucap menggunakan Bahasa Melayu di hadapan delegasi negara-negara lain pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).

Tampil segak dengan bersut dan kopiah hitam, Tuan Ibrahim menyampaikan kenyataan negara pada konvensyen berkenaan selama kira-kira tiga minit.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here