PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi Melaka berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter yang sedang diulangi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
Beliau berkata “character assassination” bertujuan merosakkan nama baik calon Barisan Nasional (BN) seperti mana dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih tiga tahun lalu.
Kata Pengerusi BN itu, ia juga bertujuan memperdaya perhatian rakyat daripada isu-isu mendasar kepada isu-isu yang menyerang peribadi calon BN.
“Bagaimanapun saya yakin rakyat Melaka berfikiran rasional dan dapat menilai propaganda yang memanipulasi.
“BN bercerita tentang mengembalikan kestabilan demi kemakmuran Melaka, mereka pula gigih memperlekeh calon BN.
“Semoga rakyat Melaka tidak menghiraukan itu lagi kerana yang penting bersama mengembalikan Melaka ke landasan sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Ahmad Zahid berkata BN sudah bosan dengan pendekatan lawan politiknya yang menghasut rakyat membenci dan memandang hina peribadi.
“Apa yang kita perdebatkan kompetisi ideologi, dasar, kemampuan, keberkesanan mentadbir, kejujuran dan keikhlasan parti.
“Fokus utama adalah tentang BN kembali sebagai sebuah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.
“Justeru misi rakyat Melaka memastikan kemenangan BN dalam PRN kali ini juga merupakan misi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Malaysiapost

