SPRM panggil 18 pekebun durian

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 18 pekebun untuk memberi keterangan berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub, Pahang.

SPRM dalam kenyataan malam tadi berkata, hanya 18 orang itu sahaja dipanggil bagi membantu siasatan dan bukan 50 atau 30 pekebun yang dipanggil seperti didakwa pihak tertentu.

“Untuk makluman, terdapat 12 lagi individu lain yang turut hadir namun semuanya tidak berkaitan dengan siasatan kes berkenaan.

“SPRM menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan. Tindakan SPRM adalah bebas tanpa desakan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan mengenai isu penerokaan tanah ini yang telah berlarutan sehingga kini,” kata kenyataan itu seperti dilapor Utusan Malaysia.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan SPRM akan terus memanggil pihak berkaitan untuk membantu siasatan berhubung isu itu dari semasa ke semasa.

Sebelum ini dilaporkan, SPRM sedang mengumpul maklumat berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata beliau sudah mengarahkan SPRM Pahang mengadakan pertemuan segera dengan beberapa pihak bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu itu. -Malaysiapost