Aiman Hanif & Nurul Huda Abhar
Budaya lompat parti bukanlah perkara baharu di negara ini, ia telah menjadi amalan sekian lama dalam politik Malaysia.
“Katak politik” ini pastinya mempunyai agenda peribadi dan mungkin mendapat “habuan” tertentu apabila mengubah sokongannya.
Budaya lompat parti menjadi ketara dan bagaikan tidak terkawal bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) selepas BN tumbang buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara.
Ia bagaikan norma baharu, “katak politik” ini melompat mencari rumah baharu tanpa memikirkan mandat rakyat.
Bermula di Sabah, selepas kedudukan tegantung apabila BN dan Warisan masing-masing memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Upko yang memenangi lima kerusi DUN atas tiket BN bertindak keluar parti dan menyokong Warisan.
Pada 10 Mei Tan Sri Musa Aman mengumumkan kerjasama dengan parti Star dan kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Bagaimanapun enam Adun BN kemudiannya melompat dengan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri.
Selain Sabah, “katak-katak politik” juga turut melompat di Melaka dan Kedah, ia ekoran pertukaran Kerajaan Persekutuan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Melaka dan Kedah yang dikuasai PH kemudiannya tumbang dan diganti dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin BN dan PAS bagi dua negeri berkenaan.
Pada 18 Ogos Kaukus Ahli Parlimen Untuk Reformasi Sistem Pilihan Raya ditubuhkan secara rasmi dan mengambil masa enam bulan untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menyekat perbuatan wakil rakyat melompat parti.
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai pengerusi kaukus itu.
Meskipun budaya lompat parti tidak bercanggah perlembagaan, namun budaya ini perlu dihentikan kerana ia tidak menghormati mandat rakyat serta amalan demokrasi.
Apakah “katak-katak politik” ini akan melompat lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti?.
Kronologi lompat parti di Sabah
9 Mei 2018 – Keputusan PRU14: BN-29, Warisan+PH-29, Star-2
10 Mei 2018 – Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau bertindak membawa Upko keluar BN dan menyokong Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
10 Mei 2018 – Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman umum kerjasama BN dan Star bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah 31 kerusi – Musa angkat sumpah Ketua Menteri manakala Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam satu majlis lewat malam di Istana Negeri
11 Mei 2018 – Adun BN, Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) bertemu Mohd Shafie dan TYT bagi memaklumkan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan Warisan+PH dan Adun BN.

12 Mei 2018 (9.11 malam) – Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri
13 Mei 2018 – 4 lagi Adun BN menyokong Mohd Shafie – Datuk Bolkiah Ismail (Umno-Pitas), Datuk James Ratib (Umno-Sugut), Datuk Limus Jury (Upko-Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Upko-Kuamut)
16 Mei 2018 – Adun Sugut, Datuk James Ratib menyertai Upko
19 September 2018 – Ahli Parlimen Kimanis yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas
10 Disember 2018 – Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman keluar Umno dan menyertai Warisan
12 Disember 2018 – 9 Adun Umno dan 5 Ahli Parlimen Umno umum keluar parti diketuai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman.

15 Februari 2019 – 5 bekas Ahli Parlimen Umno dan 8 bekas Adun Umno menyerahkan borang menyertai Bersatu berikutan pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kemasukan parti itu ke Sabah.
25 Januari 2019 – Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli menyertai Warisan
7 Mac 2019 – Adun Tandek, Datuk Anita Baranting ke luar PBS dan menyertai Warisan
27 September 2019 – Adun Labuk, Abdul Rahman Kongkawang keluar PBS dan menyertai Warisan
15 Jun 2020 – Dua Adun Upko, Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) keluar parti dan menyokong PN
29 Julai 2020 – 13 bekas Adun Umno, PBS dan Upko yang sebelum ini menyokong Warisan beralih arah dan menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri daripada Warisan
-Musa mendakwa memperolehi majoriti mudah 33 kerusi dan bersedia ke istana untuk mengangkat sumpah Ketua Menteri
30 Julai 2020 – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin. – Malaysiapost


