POLIS menahan 12 individu kerana disyaki menjalankan perkhidmatan seks untuk golongan gay dalam serbuan terhadap sebuah premis di Taman Pelangi, Johor Bahru kelmarin.
Serbuan jam 9.30 malam itu dilakukan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama anggota Balai Polis Taman Pelangi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata turut ditahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.
“Lelaki itu gagal mengemukakan lesen perniagaan sah dan pemeriksaan lanjut menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warga asing berumur 20 tahun hingga 40 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.
“Turut ditahan ialah dua lelaki tempatan berumur 25 dan 32 tahun disyaki pelanggan untuk mendapatkan khidmat urut dan seks,” katanya menerusi kenyataan.
Raub berkata pelbagai peralatan dipercayai bagi kegunaan khidmat urut dan seks turut dirampas antaranya dua botol minyak urut, enam kondom pelbagai jenama, satu tiub pelincir, sehelai kertas mempunyai catatan aktiviti pekerjaan, empat keping gambar iklan lelaki dan wang tunai RM139.
“Semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia terhadap tujuh asing yang ditahan mendapati salah satu daripadanya tidak mempunyai pasport perjalanan sah.
“Penjaga premis dikompaun RM10,000, manakala pelanggan dikompaun RM 2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUKTPP), Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan 55B Akta Imigresen dan 6 (1) (c) Akta Imigresen. – Malaysiapost

