
BERIKUTAN larangan kempen secara bersemuka, DAP akan mengadakan ceramah secara dalam talian, setiap malam sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan perkara itu menerusi Facebook miliknya.
Katanya, disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, pihaknya akan berkempen untuk PRN Melaka secara dalam talian dengan bersiaran langsung di Facebook ‘Democratic Action Party’ setiap hari pada jam 9 malam.
“Sungguhpun kerajaan melarang kita untuk berceramah dan berjumpa dengan rakyat, kami akan meneruskan kempen #PRNMelaka2021 dengan bersiaran langsung di laman Facebook DAP.
“Pastikan anda set masa pada jam 9 malam, setiap hari untuk berjumpa dengan kami secara online. Jumpa kat sini malam ni tau!,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout tidak dibenarkan sepanjang kempen PRN Melaka.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai juga tidak dibenarkan.
Sebaliknya beliau berkata calon boleh memaksimum kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial. – Malaysiapost
