BEKALAN air di 13 kawasan sekitar ibu kota yang terjejas ekoran paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam esok.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, kerja-kerja kecemasan bagi insiden paip pecah di kawasan tersebut, telah siap dilaksanakan pada jam 12:30 tengah malam tadi.
“Berikutan itu, bekalan air telah mula disalurkan kepada para pengguna di 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur pada jam 4.30 pagi secara berperingkat-peringkat setelah paras kolam-kolam air agihan distabilkan dan kualiti air mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya menerusi Facebook.

Air Selangor turut memaklumkan pengguna untuk merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa.
“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya. – Malaysiapost

