‘Katak politik’: Muda lebih berprinsip dari DAP – Razlan

0
2
Datuk Razlan Rafii

PARTI Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) lebih berprinsip berbanding DAP yang bersandiwara menolak empat ‘katak politik’ tetapi masih bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii susulan pendirian DAP menolak empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menjatuhkan kerajaan Melaka.

“Hari ini, empat orang katak yang mengkhianati rakyat Melaka diambil oleh PH sebagai calon Adun PH, kononnya DAP menolak mereka atas asas prinsip.

“Ini isu dasar dan asas perjuangan, kenapa DAP masih menggunakan lambang PH, sekiranya ada prinsip dan percaya kepada perjuangan mereka, gunakan sahajalah logo Roket, DAP ada pilihan, namun sudah terang lagi bersuluh, semuanya lakonan hebat PH,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Razlan berkata itu semua adalah penipuan dan lakonan sandiwara parti tersebut sekali lagi untuk menunjukkan mereka lebih baik dari empat katak tersebut.

“Muda lebih prinsip dari DAP, mereka menunjukkan politik matang dan menolak sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan individu melebihi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Semalam Muda mengumumkan menarik diri daripada bertanding dalam PRN Melaka susulan kecewa dengan keputusan PH menerima dua ‘katak politik’ sebagai calonnya.

Justeru Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Muda mengambil pendirian berkecuali dalam PRN Melaka dan akan memberi fokus untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu PH mengumumkan dua bekas pemimpin Umno yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri sehingga kerajaan negeri tumbang, akan bertanding sebagai calon pakatan itu dalam PRN Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bekas Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sebagai calon PKR di DUN Asahan, manakala Datuk Nor Azman Hassan mewakili Amanah di kerusi DUN Pantai Kundor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here