PAS adalah parti paling berintegriti di Malaysia, memandangkan tiada wakil rakyatnya melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari.
“Kita (PAS) merupakan satu-satu parti yang paling berintegriti di Malaysia ini.
“Tidak ada mana-mana parti selepas PRU14 yang berjaya mempertahankan semua Ahli Parlimen dan Adunnya daripada melompat ke parti yang lain.
“Sebut saja mana parti sama ada Ahli Parlimen mahupun Adun yang melompat… tak perlu saya sebut… ada Ahli Parlimen yang melompat beberapa kali sehingga menjatuhkan kerajaan demi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan penggulungan di hari akhir Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, integriti itu perlu dipertahankan bagi memastikan kedudukan PAS di Putrajaya terus dikekalkan.
“Alhamdulillah, parti yang dilihat paling berintegriti ialah Parti Islam Se-Malaysia… PAS. Integriti inilah menjadi modal untuk kita mempertahankan kemenangan kita dan membawa masuk PAS dengan langkah bergaya ke Putrajaya. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

