Isu pasir punca tarik sokongan – Norhizam

0
1

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sekali lagi mendakwa isu pasir menjadi punca beliau dan tiga lagi bekas Adun menarik sokongan kepada kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang dijangka bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) berkata mereja juga tidak mahu melihat kerakusan dan kemungkaran berlaku di depan mata.

“Seperti mana yang kita tengok, hasil pasir hilang begitu sahaja… dan banyak lagi keputusan dasar exco kerajaan Melaka tidak dihormati.

“Kita tidak sanggup melihat benda ini berlaku di depan mata kita, jadi kami berempat mengambil keputusan menarik diri memberi sokongan kepada kerajaan Melaka.

“Kesannya, Melaka akan kehilangan hasil-hasil sumber, seperti dijelaskan Datuk Seri Idris Haron berkaitan pasir. Saya tak perlu nak jelaskan lagi, benda ini akan terungkai hari demi hari,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya.

Norhizam berkata hasil pasir adalah hak rakyat Melaka yang menjadi sumber pendapatan negeri.

Katanya, sekiranya negeri mendapat hasil kutipan pasir yang besar, maka duit itu akan dibelanjakan kepada rakyat semula.

“Jadi bayangkan kalau saya nampak berlaku di depan mata saya, saya sanggup hilang jawatan sebagai exco kerajaan Melaka yang mempunyai fasiliti dan gaji yang besar, kenapa? Kerana banyak benda tak sihat berlaku, satu demi satu dasar yang dibuat tak begitu bagus, yang haram dihalalkan.

“Kita berharap seluruh rakyat Melaka mengambil tahu perkara yang berlaku demi masa depan anak-anak, jangan dengar cakap sebelah pihak.

“Kita tak mahu bersekongkol, saya tak ada masalah dengan (bekas) Ketua Menteri, tetapi kita tak nak di belakang tadbir iaitu belakang Datuk Seri Sulaiman (Md Ali) ada seorang lagi yang mengawal kedudukan beliau,” katanya lagi.

Menurut Norhizam, tindakan mereka menarik sokongan kepada Sulaiman bukan kerana khianat, sebaliknya penyelamat hak-hak rakyat Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here