Danish hargai kepercayaan pemimpin DAP

0
4

CALON termuda DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhamad Danish Zainudin menghargai kepercayaan diberikan kepemimpinan parti itu untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH).

Muhamad Danish, 25, diumumkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang sebelum ini disandang bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

“Terima kasih kepada kepimpinan @dapmalaysia yang telah meletakkan kepercayaan kepada saya sebagai seorang anak muda untuk menggalas harapan bagi memastikan DUN Pengkalan Batu kekal milik @pakatanharapan. Kita mesti menang,” ciapnya di Twitter.

Muhamad Danish telah berkhidmat sebagai penyelaras DAP DUN Pengkalan Batu sejak Ogos 2020.

Beliau dijangka berdepan Norhizam yang kemungkinan bertanding sebagai calon Bebas, selain calon Barisan Nasional (BN) dari Wanita Umno, Datuk Kalsom Nordin serta calon Perikatan Nasional (PN) yang dijangka diumumkan petang ini.

DAP semalam mengumumkan lapan nama sebagai calonnya yang mewakili PH dalam PRN Melaka.

Selain Muhamad Danish, tujuh yang lain ialah G Saminathan (Gadek), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Chee Leong (Kota Laksamana), Damian Yeo Shen Li (Duyong), Leng Chau Yen (Bandar Hilir) dan Kok Kiew (Bemban). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here