ISU siakap “harga kayangan” di Langkawi terus berlanjutan di media sosial apabila beberapa orang lagi pengguna media sosial tampil mendedahkan yang mereka mengalami nasib sama terpaksa dengan harga luar biasa mencecah ribuan ringgit.
Seorang pengguna laman media sosial berkongsi nasib sama apabila mendakwa dia antara 19 individu yang makan di restoran berkenaan terpaksa membayar dengan harga empat angka di samping harga air dan telur yang disifatkannya terlalu mahal.
Melalui perkongsian itu wanita berkenaan mendakwa harga ikan siakap yang dinikmati mereka umpama “cengkik tekuk tahap nak mati”.
“Mulanya kami ingat ikan siakap itu saiz biasa, kami order tiga ekor selepas itu akak tu kata yang seekor sudah cukup.
“Kami pun tak jangka saiz ikan itu yang sebenarnya, cuma dia cakap seekor sudah cukup untuk kami semua makan. Kami pun setuju, maka bermula mimpi ngeri.
“Tadaaaa… empat angka, air pun cekik tengkuk tahap tak mati. Inikan pula ikan siakap yang katanya dari kayangan tapi keturunan Langkawi.
“Itu baru ikan, harga mau tersedak minum. Air kosong pun RM5, inikan pula air manis,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Jelasnya mereka menjangkakan bahawa hidangan tersebut berkemungkinan dikenakan caj RM200 sehingga RM500, namun semuanya berubah apabila melihat jumlah keseluruhan bil itu.
Sebelum ini tular dimedia sosial nasib yang menimpa sekumpulan pelancong ke Pulau Langkawi apabila mereka terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap seberat sekitar 7 kilogram (kg) di salah sebuah restoran di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Mohd Faris Zulkarnain di Facebook miliknya, mereka terdiri daripada tujuh individu juga terpaksa membayar bil keseluruhan sebanyak RM1,852.50 termasuk menu lain.
Bagaimanapun pemilik restoran tampil mempertahankan caj bayaran berkenaan dan mendakwa siakap yang dimakan kumpulan berkenaan adalah siakap hiasan dan telah diberitahu harganya terlebih dulu.
Sementara itu seorang lagi pengguna media sosial dikenali sebagai Rohani Osman tampil mendedahkan yang dia dan keluarganya mengalami nasib sama di restoran berkenaan.
Jelas wanita berkenaan yang dikenali sebagai Kak Ani mendakwa dia tidak dimaklumkan mengenai berat ikan berkenaan dan juga harganya.
“Ikan siakap viral Langkawi, terpanggil untuk menceritakan pengalaman peribadi. Untuk Kes Kak Ani, di restoran yang sama.
“Kak Ani ‘order’ macam biasa siakap tiga rasa satu udang masak pedas…Dan Kak Ani tidak diberitahu berapa kilogram ikan siakap yang akan diberikan.
“Kak Ani sedia maklum makan di restoran terapung mesti mahal, dalam kiraan Kak Animungkin lebih kurang RM600-RM700 untuk kak ani dan anak-anak.
“Tapi, kami diberikan ikan siakap 4.98 kilogram dan total bil RM1,660,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.-Malaysiapost

