KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) menampilkan 86 peratus muka baharu sebagai calon Pilihan Negeri (PRN) Melaka, disambut baik bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua calon baharu yang bakal menyerahkan borang penamaan calon pada 8 November ini supaya berusaha keras memikat hati pengundi agar memilih BN.
“Jadi saya mohon kepada semua calon baru BN, kita ada agenda dan kita ada banyak perkara yang hendak kita lakukan.
“Jadi kepada semua calon baharu ini, harap dapat turun ke bawah dan maklumkan kepada semua pengundi, kerjalah dengan baik dan ingat tugas kita yang sunguh mencabar.
“Jadi semua calon baharu selamat kerja dengan kuat kerana banyak perkara yang perlu kita laksanakan,” katanya ditemui selepas pengumuman calon BN untuk PRN Melaka di PWTC di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan BN menampilkan 86 peratus muka baharu pada PRN Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November ini.
Dalam PRN ini, Sulaiman bakal mempertahan kerusi DUN Lendu yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu. – Malaysiapost

