‘Terpulang pada Umno nak tanding sendiri’ – Hadi

0
1

PERTEMBUNGAN Umno dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sah tidak dapat dielakkan apabila Presiden PAS bertegas bahawa Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai parti Islam itu akan turut bertanding semua 28 kerusi.

Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyusul selepas Barisan Nasional (BN) pagi tadi mengumumkan senarai calon bagi mewakili gabungan tersebut di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pendirian PN bertanding semua… terpulang pada Umno nak ikut PN atau tanding sendiri.

“Di pihak PAS kita sudah setuju pakai simbol PN,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar PAS 2021 yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.

Beliau ditanya pendirian PAS susulan pengumuman BN yang ditunjangi Umno bakal bertanding semua 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka.

Terdahulu Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan komposisi 20 kerusi untuk Umno, tujuh untuk MCA dan satu untuk MIC dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Sebelum ini PAS dilaporkan menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi DUN.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, PAS sentiasa berpegang kepada asas kerjasama tiga parti yang turut membabitkan Umno dan Bersatu.

“(Namun) bila ada parti tak mahu kerjasama, maka terpulang pada dialah. Bila sebut kerjasama maka mestilah berlaku pembahagian kerusi antara parti-parti, bukan saja Muafakat Nasional (MN), malah PN.

“Di Melaka pembahagian kerusi dalam PN bukan saja antara PAS dan Bersatu, malah Gerakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here