PEMIMPIN BN yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu turut merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat yang digugurkan dan pemilihan calon kali ini adalah satu pembaharuan dengan 78 peratus daripadanya di bawah umur 50 tahun.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih.
“Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baharu. Inilah kesetiaan yang kita perlukan daripada semua.
“Pastikanlah parti beroleh kejayaan dan kembali menerajui negeri ini.
“Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-Allah mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod Ahmad Zahid kini sedang menjalani rawatan di Jerman.
Terdahulu, BN mengesahkan untuk bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengumuman senarai calon BN bagi mendepani PRN Melaka diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di ibu negara pagi ini, bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.
Perkembangan terbaru itu sekali gus menyaksikan kemungkinan besar pertembungan Umno dengan PAS sekurang-kurang di lima kerusi berikutan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) itu telah menyatakan hasrat bertanding di lima DUN di Melaka.
BN mencatur strategi komposisi 20 kerusi untuk Umno, tujuh untuk MCA dan satu untuk MIC dalam misi gabungan itu menawan 28 kerusi DUN pada 20 November ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pemilihan calon kali ini merupakan pendekatan baharu dan berani dalam memenuhi kriteria “WALI” iaitu “winnable, acceptable dan likeable”.
“Parti sebulat suara memutuskan memilih 86 peratus muka baharu, 78 peratus daripadanya adalah yang berusia 50 tahun ke bawah manakala 82 peratus adalah berkelulusan akademik IPT (institut pengajian tinggi).
“Ia adalah satu pendekatan baharu dan berani dalam memenuhi kriteria WALI (winnable, acceptable and likeable) yang kita utarakan,” katanya lagi.- Malaysiapost

